Wednesday, August 17, 2011

Kenali Orang Sombong & Bongkak



Sombong bererti terasa kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri sendiri, kemudian ditambah dengan sifat  suka merendahkan orang lain serta tidak mahu menerima pandangan orang lain. Orang sombong memandang   rendah manusia lain kerana berasakan sesuatu kelebihan yang ada pada diri mereka.

Begitulah sombongnya Iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam as. Tidak cukup dengan kesombongannya kepada Allah SWT, lalu ia menempelak: “Mana boleh aku  bersujud  kepada manusia, kerana aku dijadikan dari api yang mulia, sedangkan Adam dijadikan dari tanah yang hina.

Penyakit sombong akan menyerang sesiapa saja, baik lelaki atau perempuan, golongan bangsawan atau bawahan, berjawatan tinggi ataupun pengemis di jalanan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Aku akan belokkan dari keterangan-Ku, orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi, di luar kebenaran.” (Surah al-A’raf, ayat 146)

Sombong yang paling keji ialah bersifat sombong terhadap Allah SWT. Tercatat dalam  al-Quran, antara manusia yang pernah sombong terhadap Allah ialah Namrud  yang  ingin  memerangi  tuhan,  keduanya Raja Firaun yang pernah mengaku dirinya Tuhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya, orang yang menyombongkan dirinya dari menyembah Aku, akan masuk neraka jahanam dengan kehinaan.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Sombong  yang  kedua  ialah  bersifat sombong kepada Rasul dan ajarannya seperti  tidak mengiktiraf rasul yang diutus Tuhan kerana kemiskinan dan  kehinaan  keturunan,  seperti Firaun yang mengaku dan menganggap dirinya tuhan, tidak mengaku Nabi Musa rasul utusan Allah.

Begitu  juga  Abu Lahab serta kaum Quraisy yang enggan menerima Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

Oleh itu mari kita memeriksa diri, apakah kita sudah dijangkiti virus sombong ini atau tanpa diketahui kita adalah salah seorang penghidap serius penyakit itu selama berpuluh tahun.

Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini:

PERTAMA, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila  ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada   pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya.

Orang sombong seumpama  ini, menghendaki dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak akan masuk neraka, orang yang di dalam hatinya ada seberat sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi darinya sombong.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

KEDUAnya kerana  kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid  yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang  lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.

Sedangkan mereka terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah SAW mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud:

“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti sudah  tersesat  daripada  mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.”

Jika  kita bersifat seperti ini, menghina orang yang tidak bersembahyang atau  apabila orang mengerjakan maksiat, lantas menggelengkan kepala dan terdetik di dalam hati, “Apa nak jadi dengan kamu semua. Mengapa tidak alim  dan warak seperti aku,” maka kita adalah dalam kategori orang yang berpenyakit  sombong. Oleh  itu, bersegeralah bertaubat atas kejelekan akhlak.

Perkara KETIGA yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan  keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat.

Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi tuhan.

Mereka rakus melakukan apa saja termasuk membunuh golongan lemah kerana keegoan menganggap orang  lain tidak semulia mereka. Seandainya kita zalim, bangga dengan status keturunan, maka kesombongan itu sama dengan kesombongan kaum Bani Israel yang dilaknat tuhan.

Perkara KEEMPAT menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.

Sifat sombong KELIMA berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.

KEENAM, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi.

Akhirnya yang KETUJUH kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana  ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.

Justeru, hendaklah memeriksa diri sama ada tujuh perkara yang membawa kepada penyakit sombong ada  pada kita atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong hanya akan memakan diri.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

Saturday, August 13, 2011

Orang 'EMAS' Ditahan JKM



DITAHAN...’orang emas’ yang mengenakan bayaran RM2 setiap kali gambarnya dirakam ditahan penguat kuasa JKM di Jalan Bukit Bintang, kelmarin.

“Saya tak tahu langsung pekerjaan yang saya buat ini sebenarnya salah. Kalau saya tahu, saya tak akan ambil risiko untuk melakukan kerja ini,” kata ‘orang emas’ yang ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan dalam satu operasi di Bukit Bintang, di sini, jam 9 malam kelmarin.

Dia yang mahu dikenali sebagai Elvis, 42, berkata menjadi ‘orang emas’ atau ‘Gold Man’ adalah sumber rezekinya dan pendapatan diperoleh agak memuaskan serta mampu menampung isteri dan dua anak berusia dua bulan dan tiga tahun yang tinggal di Ipoh, Perak. “Saya diberi jaminan oleh rakan bahawa pekerjaan ini tidak salah dan pihak berkuasa tidak akan mengganggu serta dijanjikan pulangan pendapatan dengan sekelip mata.

“Tanpa berfikir panjang, saya membeli tiket ke Kuala Lumpur seminggu lalu. Ini hari keempat saya bekerja sebagai Gold Man. Tidak sangka akan ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Elvis berkata, kini dia risau memikirkan nasib isteri dan anaknya jika kesalahan yang dilakukan akan menyebabkannya didakwa serta ditahan dalam tempoh yang agak lama. “Saya buntu memikirkan nasib isteri dan anak yang masih kecil, bagaimana isteri akan mencari wang untuk menampung kehidupan mereka kerana selama ini dia tidak pernah bekerja,” katanya.

Katanya, sepanjang empat hari melakukan pekerjaan itu dia mampu memperoleh pendapatan antara RM100 dan RM200 dalam sehari. Apa yang dilakukannya hanyalah berdiri dengan meletakkan satu tin kosong dan mengharap simpati orang ramai memasukkan duit bagi membolehkannya membuat pelbagai gaya sambil orang ramai merakam gambar bersamanya.

Elvis berkata, selepas mengetahui apa dilakukannya menyalahi undang-undang dia menyesal dan akan lebih berhati-hati memilih pekerjaan pada masa hadapan. Sementara itu, Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM Wilayah Persekutuan, Mujah Hamat berkata, kegiatan Elvis yang meraih simpati agar diberikan sumbangan kewangan dianggap sebagai mengemis.

Friday, August 12, 2011

Cara @ ciri2 Orang Yang Mencintai Anda Lelaki@Perempuan

Dalam kehidupan, kamu tidak sedar apa yang dilakukan oleh seseorang terhadap diri kamu merupakan satu petanda yang dia mencintai kamu. Dia tidak ingin kamu tahu secara terus daripada mulut dia tetapi dia menunjukkannya melalui perbuatan. Berikut merupakan 24 ciri-ciri yang dilakukan oleh seseorang yang menunjukkan bahawa dia mencintai kamu
.
Orang yang mencintai kamu tidak pernah mampu memberikan alasan kenapa dia mencintai kamu. Yang dia tahu di hati dan matanya hanya ada kamu satu-satunya.
Walaupun kamu sudah memiliki teman istimewa atau kekasih, dia tidak perduli! Baginya yang penting kamu bahagia dan kamu tetap menjadi impiannya.
Orang yang mencintai kamu selalu menerima kamu apa adanya, di hati dan matanya kamu selalu yang tercantik walaupun mungkin kamu merasa berat badan kamu sudah bertambah.
Orang yang mencintai kamu selalu ingin tahu tentang apa saja yang kamu lalui sepanjang hari ini, dia ingin tahu kegiatan kamu.
Orang yang mencintai kamu akan mengirimkan SMS seperti ‘selamat pagi’, ‘selamat hari minggu’, ‘selamat tidur’, ‘take care’, dan lain-lain lagi, walaupun kamu tidak membalas SMS nya, kerana dengan kiriman SMS itu lah dia menyatakan cintanya, menyatakan dalam cara yang berbeza, bukan “aku CINTA padamu”, tapi berselindung ayat selain kata cinta itu.
Jika kamu menyambut hari jadi dan kamu tidak mengundangnya ke majlis yang kamu adakan, setidak-tidaknya dia akan menelefon untuk mengucapkan selamat atau mengirim SMS.
Orang yang mencintai kamu akan selalu mengingat setiap kejadian yang dia lalui bersama kamu, bahkan mungkin kejadian yang kamu sendiri sudah melupakannya, kerana saat itu ialah sesuatu yang berharga untuknya. dan saat itu, matanya pasti berkaca. kerana saat bersamamu itu tidak boleh berulang selalu.
Orang yang mencintai kamu selalu mengingati setiap kata-kata yang kamu ucapkan, bahkan mungkin kata-kata yang kamu sendiri lupa pernah mengungkapkannya. Kerana dia menyematkan kata-katamu di hatinya, berapa banyak kata-kata penuh harapan yang kau tuturkan padanya, dan akhirnya kau musnahkan? Pasti kau lupa, tetapi bukan orang yang mencintai kamu.
Orang yang mencintai kamu akan belajar menggemari lagu-lagu kegemaran kamu, bahkan mungkin meminjam CD milik kamu, kerana dia ingin tahu apa kegemaran kamu – kesukaan kamu kesukaannya juga, walaupun sukar meminati kesukaan kamu, tapi akhirnya dia berjaya.
Kalau kali terakhir kalian bertemu kamu mungkin sedang selesema, atau batuk-batuk, dia akan sentiasa mengirim SMS atau menelefon untuk bertanya keadaan kamu – kerana dia bimbangkan tentang kamu, peduli tentang kamu.
Jika kamu mengatakan akan menghadapi ujian, dia akan menanyakan bila ujian itu berlangsung, dan saat harinya tiba dia akan mengirimkan SMS ‘good luck’ untuk memberi semangat kepada kamu.
Orang yang mencintai kamu akan memberikan suatu barang miliknya yang mungkin buat kamu itu ialah sesuatu yang biasa, tetapi baginya barang itu sangat istimewa.
Orang yang mencintai kamu akan terdiam sesaat, ketika sedang bercakap di telefon dengan kamu, sehingga kamu menjadi bingung. Sebenarnya saat itu dia merasa sangat gugup kerana kamu telah menggegarkan dunianya.
Orang yang mencintai kamu selalu ingin berada di dekat kamu dan ingin menghabiskan hari-harinya hanya dengan kamu.
Jika suatu saat kamu harus pindah ke daerah lain, dia akan sentiasa memberikan nasihat agar kamu waspada dengan persekitaran yang boleh membawa pengaruh buruk kepada kamu dan jauh.
Dihatinya dia benar-benar takut kehilangan kamu, pernah dengar ‘jauh dimata, dekat dihati?’
Orang yang mencintai kamu bertindak lebih seperti saudara daripada seperti seorang kekasih.
Orang yang mencintai kamu sering melakukan hal-hal yang SENGAL seperti menelefon kamu 100 kali dalam masa sehari. Atau mengejutkan kamu di tengah malam dengan mengirim SMS. Sebenarnya ketika itu dia sedang memikirkan kamu.
Orang yang mencintai kamu kadang-kadang merindukan kamu dan melakukan hal-hal yang membuat kamu pening kepala. Namun ketika kamu mengatakan tindakannya itu membuat kamu terganggu dia akan minta maaf dan tak akan melakukannya lagi.
Jika kamu memintanya untuk mengajarimu sesuatu maka ia akan mengajarimu dengan sabar walaupun kamu mungkin orang yang terbodoh di dunia! Bahkan dia begitu gembira kerana dapat membantu kamu. Dia tidak pernah mengelak dari menunaikan permintaan kamu walau sesukar mana permintaan mu.
Kalau kamu melihat handphone-nya maka nama kamu akan menghiasi sebahagian besar INBOX-nya. Dia masih menyimpan SMS-SMS dari kamu walaupun ia kamu kirim berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang lalu. Dia juga menyimpan surat-surat kamu di tempat khas dan segala pemberian kamu menjadi benda-benda berharga buatnya.
Dan jika kamu cuba menjauhkan diri daripadanya atau memberi reaksi menolaknya, dia akan menyedarinya dan menghilang dari kehidupan kamu, walaupun hal itu membunuh hatinya.
Jika suatu saat kamu merindukannya dan ingin memberinya kesempatan dia akan ada menunggu kamu kerana sebenarnya dia tak pernah mencari orang lain, dia sentiasa menunggu kamu.
Orang yang begitu mencintaimu, tidak pernah memaksa kamu memberinya sebab dan alasan, walaupun hatinya meronta ingin mengetahui, kerana dia tidak mahu kamu terbeban dengan karenahnya. Saat kau pinta dia berlalu, dia pergi tanpa menyalahkan kamu, kerana dia benar-benar mengerti apa itu cinta.
“Pernah adakah orang yang berbuat seperti di atas kepada kamu? Jika ada, jangan pernah mensia-siakan orang tersebut… Kamu akan menyesal melakukannya!”

Makna Kawan




Mesti korang nk tau kn ape maknanya sahabat ni?Jom kita tgk ape mknenye KAWAN :-


K- Kehadirannya Menceriakan
A- Antaranya Tiada Rasa Curiga
W- Walaupun Jauh Dekat Di Hati
A- Ambil Berat (bukan berat bdn)

N- Namanya Sentiasa Di Hati


Kadang2 istilah kawan ni wujud ketika dalam KESUSAHAN.Apa yg saya maksudkan di sini adalah SESETENGAH manusia ni hanya menganggap seseorg tu KAWAN ketika berada di dalam KESUSAHAN.Bila senang,KAWAN terus di lupakan.Bile berlaku mcm ni,alasan SIBUK akan wujud.Padahal tak SIBUK pun..Tapi itulah hakikat seorang manusia.Tp jangan salah faham.Yang di maksudkan bukan semua manusia,tp kebanyakan begitu.So,kita HARGAI lah seorg insan yg bergelar KAWAN.Jangan Berkawan Ketika Berada Dalam Kesusahan.Berkawanlah Ketika Senang Dan Susah.Anda tidak akan rugi kalau menjadi seorang KAWAN yg Baik .Bak kata pepatah "Harimau Mati Meninggalkan Belang,Manusia Mati Meninggalkan Nama".Jadikan pepatah itu sebagai semangat tok menjadi seorg KAWAN yang Baik..sebb seseorg akn mengingati kita smpai bila2 kalau kita BAIK dengan mereka..Walaupun suatu hari nanti kita akan pergi buat SELAMANYA.

Thursday, August 11, 2011

5 Sebab Kenapa Pelajar Ponteng Sekolah



Isu ini memang panas. Nak dikatakan sensitif, tidaklah sampai begitu. Tapi kalau nak kata isu pelajar ponteng sekolah ni serius atau tidak, aku yakin ramai yang akan tersenyum. Ya, ianya sudah menjadi serius dan akan menjadi lebih kronik serta kritikal jika ianya tidak ditangani dengan baik.
Ada beberapa sebab mengapa pelajar sekolah PONTENG Sekolah. Antaranya..
1. Pelajar malas belajar:- Memang susah sikit nak tolong pelajar jenis begini. Kita cakap apa pun, dia buat sardin aje. Dah tegur, dah marah, dah nasihat dan dah panggil keluarga. Sampaikan ahli keluarga sendiri mengharapkan pihak sekolah untuk membimbing anak mereka. Benda ni agak subjektif dan semuanya bergantung pada pelajar tersebut. Tak ada ubat untuk malas. Kita sendiri kena berubah untuk menjadi tidak malas. Jadi, biasanya pelajar macam ni tahu yang pihak sekolah memang tak tahu nak buat apa dengan diorang walaupun dah banyak kali masuk bilik disiplin dan bilik pengetua. Itupun masih buat sardin jugak. Entahlah, kat sekolah aku ni ada juga kes begini. Susah gak nak cakap. Nak senang bicara, buang sekolah aje pelajar tersebut. Mungkin itu jalan yang agak terbaik.
2. Pelajar buta huruf:- Ya, aku tahu. Ramai yang membangkang atau tarik muka. Mengapa aku tegaskan yang pelajar buta huruf atau tak reti membaca ni suka ponteng sekolah? Antara hujahnya ialah pelajar yang buta huruf ini biasanya akan dipinggirkan. Kalau masih sekolah rendah, masih boleh dididik. Tapi kalau sekolah menengah tapi masih tak pandai membaca, memang susah sikit nak dididik. Bukan tak boleh. Boleh. Tapi sukar. Jika sekolah menengah tersebut membuat inisiatif untuk mengadakan satu kelas khas untuk mereka-mereka yang tak pandai membaca ini, aku yakin pada mereka boleh membaca. Tapi kalau tak ada kelas atau sekolah tak buat langsung kelas-kelas pemulihan untuk pelajar sebegini, mereka takkan pandai membaca. Takkan melainkan pelajar tersebut sedar dan ada minat untuk belajar. Dan akhirnya, bila diorang sedar tak ada orang ambil perhatian tentang diri mereka, mereka akan ponteng sekolah. Cikgu pun ada yang tak berapa kesah. Memudahkan mereka untuk mengajar. Malah, ketiadaan pelajar bermasalah ini mungkin menggembirakan hati sesetengah orang guru. Jangan tak mengaku. Aku sendiri kadang-kadang sakit kepala kalau ada pelajar tingkatan 3 atau tingkatan 5 yang tak reti membaca habis satu perenggan dengan lancar. Macam mana nak masuk dewan peperiksaan kalau tak reti membaca? Menghampiri 100% akan gagal dalam peperiksaan. Jadi, bagi pelajar ni diorang merasakan ponteng sekolah mungkin jalan terbaik yang mungkin akan diakhiri dengan hukuman gantung dan buang sekolah. Yela, kalau dah 60 hari berturut-turut tak datang sekolah tanpa sebab. Buang sekolah la gamaknya..
3. Pengaruh rakan sebaya:- Ini antara sebab utama yang meyakinkan para pelajar untuk ponteng sekolah. Ini fakta. Pengaruh rakan sebaya memang antara sebab utama yang boleh membuatkan para pelajar bukan sahaja berperangai kurang ajar, nakal dan jahat tetapi berpotensi untuk ponteng sekolah lebih 60 hari dalam setahun.  Ada juga pelajar yang terpengaruh dengan rakan yang kurang elok seperti penagih atau golongan yang kurang elok untuk dicontohi. Malah ada para pelajar dipengaruhi oleh rakan mereka yang juga ponteng sekolah. Bila mereka lihat rakan mereka ponteng, ini mendorong mereka untuk ponteng sekolah. Lebih-lebih lagi bila rakan mereka itu dilihat sebagai orang-orang yang cukup ditakuti oleh pelajar lain atau masyarakat. Susah nak cakap tentang benda ini, pendek cerita, pengaruh rakan sebaya memang boleh menjadi faktor pelajar untuk ponteng sekolah.
4. Rumah jauh dari sekolah:- Faktor tempat tinggal juga memainkan peranan penting. Lebih-lebih lagi jika yang duduk dikawasan hujung bandar. Ada rumah pelajar yang dalam estet, ladang dan hutan. Nak keluar rumah kena jalan kaki. Bagi keluarga yang ada motorsikal atau basikal, bolehlah abang atau ayah mereka hantar ke simpang untuk menaiki bas. Tapi kalau mereka lambat dan tertinggal bas, ini membuatkan mereka malas untuk ke sekolah. Lebih-lebih lagi jika mereka selalu tertinggal bas yang pertama. Bas yang kedua datangnya sejam kemudian. Kalau ada yang sanggup tunggu, pasti lewat tiba ke sekolah. Sampai sekolah, kena denda pula. Masuk kelas lambat, ada plak yang kena marah dengan guru kelas. Itu yang membuatkan mereka rasa menyampah nak masuk kelas atau hadir ke sekolah. Faktor ni pun susah nak cerita. Nak salahkan mereka seratus-peratus, susah juga. Pendek cerita, semuanya bergantung pada diri pelajar masing-masing. Jika mereka mahu belajar dan datang ke sekolah, pasti ada caranya. Tapi aku tahu ada yang betul-betul datang ke sekolah, cuma faktor keadaan dan persekitaran yang membuatkan mereka terpaksa ponteng sekolah.
5. Pelajar dari keluarga susah:- Ada yang ponteng sekolah sebab keadaan keluarga yang daif. Nak pergi sekolah kena naik bas. Sekolah pula jauh dari rumah. Nak jalan kaki, pelajar sekarang memang malas. Zaman mak bapak kita dulu, setakat jalan kaki ke sekolah dalam 20-30 km, macam kacang aje. Zaman sekarang, jangan mimpi nak harap pelajar jalan kaki ke sekolah walaupun jaraknya 10km. Penat katanya. Lom lagi cerita tentang duit poket diorang. Memang tak ramai yang ada duit. Pergi sekolah pun, cukup-cukup untuk duit bas. Waktu rehat, puasalah jawabnya. Tidakpun, togok air paip. Itu aje yang mampu. Kadang-kadang aku kesian juga dengan pelajar jenis macam ni. Aku tolong apa yang aku mampu aje. Yang tak mampu dan tak tercapai, aku doakan mereka akan belajar untuk mengubah masa depan keluarga mereka. Insya-Allah.
Ok. Cukup 5 point atau 5 sebab mengapa pelajar ponteng sekolah. Ada 1001 sebab dan alasan mengapa pelajar ponteng sekolah. Itu belum lagi masuk pelajar yang takut dengan guru disiplin, takut dengan guru kelas, takut dengan genster sekolah, takut nak bayar yuran sekolah dan macam-macam lagi. Ada banyak. Tapi sampai hari ini walaupun sudah diberikan nasihat dan teguran, kes ponteng sekolah tetap ada hampir diseluruh sekolah di Malaysia. Seperti yang aku katakan tadi benda ni sangat subjektif. Semuanya terpulang pada diri para pelajar. Jika mereka mahu belajar, mereka takkan ponteng sekolah atau ponteng kelas. Masalah ini akan terus berlarutan selagi para pelajar tidak ada kesedaran dalam diri masing-masing.

Miz Nina Sudah Pandai Masak


KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh gembira dengan kehidupan barunya sebagai suami kepada penyanyi Mizz Nina, lebih-lebih lagi isterinya itu rajin memasak.
Kata Noh, selepas pulang daripada berbulan madu di beberapa negara Eropah pada awal bulan ini, Nina mula mempelajari pelbagai jenis masakan.
"Setakat ini, Nina dah mula memasak makanan kegemaran saya iaitu ayam masak kicap dan sambal tumis.
"Biasalah mula-mula masak, ada kurang sana sini dan masin sikit. Setakat ini, dia mengambil 'jalan selamat' dalam menu masakannya. Apa-apa pun, saya suka!" selorohnya.
Selain itu, bercerita mengenai pertama kali berpuasa bersama Nina, kata Noh dia berasa seronok berbanding ketika pada zaman bujangnya yang kerap bersahur dan berbuka puasa di studio sahaja.
"Biasalah, masa zaman bujang dulu, makan minum kita tak jaga sangat. Memandangkan saya sentiasa tak tidur malam, waktu malam selalunya sudah jadi seperti waktu sahur.
"Bila dah beristeri, barulah saya rasa pengalaman yang lain dan sentiasa pulang ke rumah secepat mungkin untuk makan bersama," ujarnya.
Sementara itu, Noh memberitahu, selepas pulang daripada berbulan madu, dia dan Nina terpaksa mengemas rumah apabila melihat baju-baju perkahwinan mereka merata-rata.
"Selepas melihat baju-baju kahwin yang merata itu, barulah kami sedar, banyak juga baju yang digunakan sepanjang majlis pernikahan dan resepsi diadakan bulan lepas.
"Sampaikan kami terfikir, mungkin kena jual beberapa daripadanya kot," seloroh Noh lagi.

Anak Terbaring Mulut Berbuih



PILU...Noriati (kiri) dan Sialus melihat baju arwah cucu mereka.

MERU: “Ketika ke bilik air kira-kira jam 6.10 pagi saya dengar bunyi dengusan nafas yang kuat dan terkejut melihat Dini terlentang dengan mata terbeliak serta mulut berbuih.

“Saya membawanya ke hospital, tapi sebaik tiba, doktor beritahu anak saya sudah meninggal dunia,” kata Mohamad Ali Khir, menceritakan detik kematian anak perempuannya berusia 11 tahun selepas berbuka puasa dengan juadah dibeli di bazar Ramadan.

Mohamad Ali, 37, berkata dia membeli air batu campur (ABC) dan otak-otak untuk juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran rumahnya di Taman Seri Mewah Fasa 2, di sini, pada petang Ahad lalu.

Menurutnya, anak perempuan tunggalnya, Nurdini, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, di sini, meminta untuk berbuka puasa dengan ABC dan otak-otak sejak hari pertama berpuasa

“Hanya pada hujung minggu lalu (Ahad) saya sempat membeli juadah itu. Arwah amat berselera menghirup ABC ketika berbuka puasa. Saya dan anak-anak serta pembantu rumah juga menikmati juadah itu.

Haha... Iphone 5?



Ingin mengikuti semua ura-ura berkaitan iPhone generasi akan datang dengan mudah? Kini sebuah video khas dibangunkan oleh NoWhereElse, memperlihatkan kesemua ura-ura berkaitan iPhone 5 yang akan dilancarkan dalam bentuk video yang amat menarik dan ringkas sekali.

Menariknya, ianya juga turut sama menggunakan rekabentuk yang menyerupai apa yang diperkatakan sebelum ini. Walaubagaimanapun, seperti sedia maklum, memandangkan ianya merupakan kompilasi ura-ura berkaitan dengan iPhone 5, berkemungkinan ianya tidak akan menjadi kenyataan, walaupun menerima peratusan tinggi ianya diperkatakan akan dilancarkan.


Walauapapun, sama-sama kita nantikan pengumuman iPhone 5 yang dikatakan akan diadakan sekitar bulan September atau Oktober ini.

Kanak-Kanak 4 Tahun Hilang Jari Hantu Akibat Mercun



Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, hilang satu jari hantu tangan kirinya dan melecur di tangan apabila mercun bola yang dicucuhnya meletup di dalam tangan dalam kejadian di Kampung Telaga Mas, Rantau Panjang, semalam.Syahir Saifullah Jefri merupakan mangsa keenam yang cedera akibat mercun bola di negeri ini bulan ini.

Ibu mangsa, Wati Ismail, 31, berkata kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari semalam ketika mangsa, anak bongsu daripada empat beradik itu sedang bermain bunga api bersama salah seorang abangnya.Wati berkata, ketika kejadian, beliau sedang menjahit pakaian raya untuk anak-anaknya manakala Boy (nama panggilan Syahir Saifullah) berada di luar rumah bermain bunga api bersama abangnya, Anwar, 6.

“Beberapa minit selepas Boy bermain bunga api, dia masuk ke rumah dan mengambil mercun bola yang disimpan abang sulungnya, Syahmi Faiq, 10, di dalam laci di ruang tamu dan membawanya keluar.”Anwar cuba menegah adiknya supaya tidak mencucuh bunga api itu tetapi Boy tidak mengendahkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian meletakkan bunga api yang masih menyala di atas meja lalu mengambil mercun bola dan mencucuhnya dengan bunga api, menyebabkan mercun itu meletup sebelum sempat dilemparkan.”Saya yang terdengar letupan dan jeritan Boy segera keluar sebelum melihat Boy menangis sambil memegang tangan kirinya yang dipenuhi darah lalu membawa dia ke Klinik Desa Rantau Panjang,” katanya.

Wati berkata, anaknya yang hilang satu jari serta melecur di kedua-dua tangan kanan dan kiri itu kemudian dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke HRPZ II berikutan kecederaan serius. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata Syahir Saifullah merupakan mangsa keenam akibat mercun bola di negeri ini dengan kes pertama berlaku pada 1 Ogos lalu membabitkan seorang remaja berusia 20 tahun, namun dalam kes itu remaja berkenaan hanya cedera ringan. – BERNAMA

Wednesday, August 3, 2011

6 Cara mengeratkan Hubungan kasih sayang.. :)



 
Dalam sesuatu hubungan mesti ada pahit dan manis. Kita yang memainkan peranan untuk menyerikan kembali hubungan yang kian hambar. Mungkin kita tidak sedar akan kekurangan diri kita yang menyebabkan hubungan kita menjadi hambar dan mungkin dengan mengikuti 6 cara ini, hubungan kita dapat diselamatkan.
1. Jadi seorang yang kelakar



Orang yang bersifat  kelakar mudah untuk didekati kerana mereka lebih didsenangi. Begitu juga di dalam perhubungan, ia dapat membantu untuk meredakan situasi yang tegang, membantu untuk mengelakkan pertengkaran, dan melupakan sebentar tekanan yang sedang dihadapi. Sekiranya kita selalu serius, formal, cuba menunjukkan sifat kematangan yang terlampau dan sebagainya, hubungan akan menjadi bosan dan menyebabkan jurang komunikasi antara pasangan itu sendiri.

 

2. Ciuman


Ciuman akan menambahkan lagi keintiman hubungan pasangan tersebut. Tunjukkan rasa hormat pada isteri/suami dengan memberi ciuman kepada mereka. Walaupun perkara ini adalah mudah, tetapi ramai pasangan yang sudah lama berkahwin tidak mengamalkannya. Disebabkan faktor ambil mudah inilah kadang-kadang dapat dilihat hubungan pasangan yang sudah lama berkahwin itu menjadi tidak mesra. Tetapi ada juga pasangan tua yang sudah lama berkahwin tetapi masih lagi romantik. Kemesraan di dalam hubungan perlu dipupuk dan ia tidak datang dengan sendirinya.

 

3. Penghargaan



Setiap manusia amat suka dihargai kerana ia akan membuatkan diri terasa bernilai. Walaupun sesuatu perkara itu nampak mudah untuk dilakukan seperti menyediakan makanan dan sebagainya, ucapan terima kasih penting sebagai tanda penghargaan. Semakin kerap anda mengucapkan kata-kata penghargaan kepada seseorang, ianya dapat mengeratkan lagi hubungan itu.

 

4. Memberikan kejutan




Kejutan dapat memberikan suatu ingatan dalam hidup seseorang. 98% menyatakan bahawa mereka masih mengingati lagi terhadap kejutan yang diberikan terutamanya daripada orang yang tersayang. Dalam perhubungan kadang-kadang memerlukan kejutan. Ia akan menghasilkan memori indah buat pasangan. Sekiranya hubungan itu terdapat perselisihan faham dan sebagainya, mengenang kembali memori indah yang dilalui dapat membantu untuk meredakan kemarahan.

 

5. Jadi seorang yang gemarkan sejarah



Kenangan manis atau pahit yang dilalui bersama pasangan perlu untuk diceritakan semula untuk menunjukkan bahawa anda masih mengingati dirinya dan sebagai tanda penghargaan kepada dirinya kerana setia menemani anda. Setiap kali pasangan bercerita kembali mengenai sejarah yang telah mereka lalui, pasti akan menimbulkan sesuatu perasaan yang sangat positif dan dapat membantu untuk menambahkan lagi kemesraan di dalam perhubungan itu.

 

6. Jadi seorang yang pemaaf


Setiap yang dipanggil manusia pasti akan melakukan kesalahan dan anda perlu sentiasa bersedia untuk memaafkannya. Kesukaran untuk memaafkan seseorang akan mengeruhkan lagi perhubungan itu. Apabila anda sudah memaafkan seseorang, jangan sesekali mengungkit kesalahan yang telah mereka lakukan kerana ini akan membuatkan mereka berasa rendah diri dan putus asa. Maaf dan lupakan kesalahan yang telah dilakukan. Dan sebaiknya memberikan mereka semangat untuk meneruskan kehidupan dan menasihati mereka untuk tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan.

Tuesday, August 2, 2011

Apa kelebihan solat Tarawih?


>MALAM 1: 
>Telah keluar orang mukmin daripada dosanya pada malam pertama seperti ia 
>baru lahir, dengan lain perkataan dosanya diampunkan Allah. 
>MALAM 2: 
>Diampunkan dosa orang yang sembahyang terawih serta kedua ibu-bapanya 
>sekiranya kedua mereka orang yang beriman. 
>MALAM 3: 
>Berseru Malaikat di bawah Arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih 
>terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau. 
>MALAM 4: 
>Dapat pahala ia sebagaimana pahala orang yang membaca kitab-kitab Taurat, 
>Injil, Zabur dan Qur'an. 
>MALAM 5: 
>Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang yang bersembahyang di 
>Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjid Al-Aqsa. 
>MALAM 6: 
>Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di 
>Baitul Ma'mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan 
>tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang 
>mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini. 
>MALAM 7: 
>Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi 
>'Alaihissalam nenentang musuh ketatnya Fir'aun dan Hamman. 
>MALAM 8: 
>Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih seperti yang telah 
>dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim 'Alaihissalam. 
>MALAM 9: 
>Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi 
>Muhammad S.A.W. 
>MALAM 10: 
>Allah Subhanahuwata'ala mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di 
>akhirat. 
>MALAM 11: 
>Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru 
>dilahirkan. 
>MALAM 12: 
>Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (iaitu cahaya 
>ibadatnya). 
>MALAM 13: 
>Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan 
>dan keburukan. 
>MALAM 14: 
>Datang Malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada 
>menyesatkannya pada hari Qiamat. 
>MALAM 15: 
>Semua Malaikat yang menanggung 'Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya 
>supaya Allah mengampunkannya. 
>MALAM 16: 
>Allah Subhanahu Wata'ala tuliskan baginya terlepas dari neraka dan 
>dimasukkan ke dalam Syurga. 
>MALAM 17: 
>Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak 
>pahala Nabi-Nabi. 
>MALAM 18: 
>Seru Malaikat, "Hai hamba Allah, sesungguhnya Allah telah redha kepada 
>engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati) 
>MALAM 19: 
>Allah Subhanahu Wata'ala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus. 
>MALAM 20: 
>Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan 
>orang-orang solihin. 
>MALAM 21: 
>Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur. 
>MALAM 22: 
>Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan 
>(tidaklah dalam keadaan huru-hara di Padang Mahsyar). 
>MALAM 23: 
>Allah Subhanahu Wata'ala binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga. 
>MALAM 24: 
>Allah buka peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, 
>(elok sekali berdoa ketika dalam sujud). 
>MALAM 25: 
>Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur. 
>MALAM 26: 
>Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama 40 
>tahun ibadat. 
>MALAM 27: 
>Allah kurniakan orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas 
>titian Sirotolmustaqim seperti kilat menyambar. 
>MALAM 28: 
>Allah Subhanahu Wata'ala akan darjatnya 1000 darjat di akhirat. 
>MALAM 29: 
>Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang 
>mabrur. 
>MALAM 30: 
>Allah beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini 
>yang teristimewa sekali, lalu berfirman: "Hai hambaKu : makanlah segala 
>jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan 
>mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabil, serta minumlah 
>air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang 
>bernama 'Al-Kauthar'." 

slidedotcom